Hukuman mati Akta Dadah Berbahaya 1952

Satu isu lazim berkenaan akta ini ialah peruntukan hukuman mati yang dikenakan, dana menjadi perdebatan tentang kewajaran dan keberkesanan hukuman mati dalam mengekang jenayah berkenaan dadah. Hukuman mati dalam akta ini diperuntukkan dalam Seksyen 39B - Pengedaran Dadah Berbahaya, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori seperti di bawah:

(1) Tiada seorang pun boleh, bagi pihak dirinya atau bagi pihak mana-mana orang lain, sama ada atau tidak orang lain itu berada di Malaysia -

(a) mengedarkan dadah berbahaya; atau

(b) menawar untuk mengedarkan dadah berbahaya; atau

(c) melakukan atau menawar atau melakukan sesuatu perbuatan sebagai persediaan untuk atau bagi maksud pengedaran dadah berbahaya.

(2) Mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan terhadap Akta ini dan jika disabitkan hendaklah dijatuhi hukuman mati.

Selain itu, Seksyen 37 (da) juga menyenaraikan jisim pemilikan dadah-dadah lazim yang akan dianggap sebagai pengedaran dadah sekiranya pesalah memiliki sejumlah dadah bertepatan dengan jisim yang ditetapkan.

Pada 2017, satu pindaan telah dilakukan pada Akta Dadah Berbahaya dengan memasukkan subfasal baharu, Seksyen 39B (2A) yang memberikan hukuman alternatif kepada kesalahan pengedaran dadah, dengan memberikan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sekurang-kurangnya 15 kali, dengan syarat:[1]

  • tiada bukti penjualan atau pembelian;
  • tiada penglibatan agent provocateur (pihak yang mendorong seseorang melakukan jenayah); atau,
  • penglibatan pesalah terhad kepada penghantaran atau pengangkutan dadah; dan,
  • pesalah telah membantu pihak berkuasa dalam mengekang aktiviti pengedaran dadah di dalam atau luar Malaysia.